Tuesday, October 31, 2006

Gubra


Hari Raya Aidil Fitri baru habis. Almost every night ada Malay movies either kat TV3, Tv1 atau Astro Ria. Tak tengok pun sebab tak larat nak tunggu habis. Macamana pun, I'm looking forward to watch Gubra. Mula2 tengok, I kind of like it. Then bila dah macam obscene sikit, forget it. Tak sesuai lansung kalau tengok dengan anak2. A comment from Feizal Tehrani about this movie.

(tulisan sdra Faizal Tehrani, penulis & salah seorang ahli panel Forum Gubra di UM):

Apa yang terkandung dalam Gubra?

Pertama, agenda agama itu personal. Perhatikan kenyataan karyawannya dan lihatlah Gubra yang memuatkan bagaimana watak Bilal yang hidup berjiran dengan dua orang pelacur boleh mengabaikan konsep beragama dengan membiarkan sang pelacur terus menjadi pelacur!

Kedua, agenda agama itu sekadar amar makruf. Tidak ada nahi mungkar. Jika melakukan nahi mungkar kita menceroboh wilayah peribadi, kita berlaku tidak adil, mencabul hak asasi dan dimomokkan kita tidak tahu menjaga sensitiviti masyarakat dan kita akan mencabul konsep pluralisme John Hick tado.

Ketiga, agenda maksiat dan gerakan menghalalkannya. Tanpa segan silu, slogan maksiat ditabuh dalam filem ini, lihat sahaja adegan ‘tak apa melacur itu’. Tanpa menafikan ada banyak filem lain yang turut memiliki agenda sama, tetapi Gubra kemuncaknya. Dan kemuncak ini dihadiahi filem terbaik untuk Pesta Filem Malaysia ke-19.Sejak 19 kali pesta filem dilancarkan, hampir setiap filem terbaiknya mengandungi watak pelacur, sundal, jalang atau paling tidak, wanita ternoda. Sakit apakah masyarakat kita bahawa filem kita yang kononnya menjadi cerminan masyarakat dipenuhi perempuan jahat dan gelap?

Keempat, Gubra adalah agenda inter-faith ala John Hick. Adegan akhir di mana munajat doa seorang bekas pelacur berganti dengan teleku watak lain di gereja dan kemudian upacara sembahyang di tokong oleh pasangan suami isteri Cina adalah mesej halus untuk menunjukkan semua agama menawarkan kebenaran, keselamatan, kesejahteraan dan kasih sayang.

Betul tidak ada Lina Joy dalam Gubra. Dua puluh ribu umat Islam yang tersinggung, marah dan mengamuk akan ribuan Melayu murtad di Masjid Wilayah tidak peduli kepada kami di bidang persuratan dan budaya yang mati-mati melawan barisan musuh budaya ini.Kami diserang hari-hari. Kami tidak ada karyawan filem untuk membalas serangan. Kita tak ada strategi. Musuh ini ada strategi. Kami tak ada pembela berwibawa seperti Mufti Perak, Ustaz Harusssani. Malahan tidak dipedulikan pun.

Apabila Sharifah Amani naik ke pentas dengan kata-kata "I sound stupid speaking Malay" (saya berasa macam bodoh untuk berucap dalam berbahasa Melayu) dan "If bikin filem mencemarkan budaya lets make it often" (jika bikin filem mencemarkan budaya marilah kita buat banyak lagi) saya kasihan dengan gadis 20 tahun ini yang cedera parah oleh bom perang budaya.Dia mungkin tak puntung kaki dan tangan, tetapi lebih dahsyat, hilang hati nurani. Dan makin banyak dia melakukan damage control seperti "keluarga saya memang tak berbahasa Melayu di rumah" dan "saya tak fasih berbahasa Melayu", semakin parahlah kecederaannya.

Inilah yang kami, tentera yang kalian tinggalkan seorang diri, hadapi setiap hari setiap detik dan masa. Selepas menonton Gubra antara teman pengarang yang saya hubungi ialah novelis Zaid Akhtar dan Nisah Haron.Sesudah Seminar Peradaban Nasional di Port Dickson baru-baru ini kami sepakat mengatakan masyarakat kita makin parah oleh perang budaya ini. Hatta mereka yang kononnya dulu mahu mempertahankan budaya dan persuratan Melayu-Islam pun terjerumus!Mereka tidak sedar pun mereka cedera. Malah mempertahankannya. Saya berasa apakah bezanya kehebohan mengenai ribuan orang Melayu murtad dengan ribuan orang Melayu yang telah hilang jati diri.

Kita kehilangan tulisan jawi, saudara membaca rencana ini dalam tulisan rumi. Hampir tidak mungkin kita berpatah balik. Saya tidak merayu saudara menyokong saya. Saya tak perlukan sokongan moral. Saya tak merayu dan minta saudara membeli karya saya kerana saya pengarang sepenuh masa.Tetapi ingat, jika saya dan teman berdua lagi ini kalah dalam perang budaya yang sedang menggasak ummah, saudaralah yang harus bertanggungjawab, saudaralah yang bersikap tidak peduli kerana saudaralah yang meninggalkan kami.

No comments: