Friday, December 28, 2007

Kahwin Orang Kaya VS Kahwin Orang Miskin

Disember musim orang kahwin. Terfikir nanti majlis perkahwinan bagaimanakah untuk anak-anak? Saya jumpa satu artikel di Internet yang agak menarik tentang majlis perkahwinan yang mungkin boleh dijadikan 'guideline' kami nanti. Jemputlah baca:

MUSIM orang kahwin, tentulah cerita orang kahwin juga yang mendapat tempat. Setelah meneliti dan mencari yang terbaik saya memilih untuk berkongsi pendapat Datin W. Perbualan kami yang mengambil masa selama hampir sejam menceritakan segala-galanya tentang perbezaan kahwin orang miskin dan kahwin orang kaya.

"Miskin yang dimaksudkan adalah orang kurang berada yang hanya membuat kenduri kahwin di rumah, tidak di dewan atau hotel bertaraf lima bintang," demikian Datin W memulakan bicaranya.

Datin W telah menghadiri sembilan majlis perkahwinan sepanjang cuti sekolah baru-baru ini. Ada banyak beza, katanya. Lalu dia namakan majlis itu kahwin orang miskin dan kahwin orang kaya."

Lima daripada majlis tersebut diadakan di hotel dan dewan yang bertaraf lima bintang sementara empat lagi di rumah. Saya pergi ke semua majlis itu bagi memenuhi undangan kawan-kawan lama dan rakan sepejabat. Di tempat bertaraf lima bintang memang menarik dan serba serbi canggih. Makanan terhidang depan mata, siap ada napkin, bunga terletak indah di tengah meja, makanan diletakkan dalam bekas cantik. Siap ada kopi, teh dan pemanis mulut. Kerusi juga beriben dan beralas indah. Sayangnya, letih menunggu berjam-jam sehinggakan perut mula berjoget kerana lapar," kata Datin W.

Menurut Datin W, sudahlah terpaksa datang awal untuk mencari parkir dan berbaris untuk masuk ke dewan. Kemudian macam orang bodoh, melilau mencari kerusi yang entah di mana letaknya. Kalau tempat duduk bebas lebih mudah, tapi yang ada nombor parahlah. Terpaksa pula berlegar-legar mencari tempat duduk. Kalau nasib baik ada penyambut tetamu cekap, lekaslah dapat duduk. Jika tidak macam kerang busuk terhegeh-hegeh mencari kerusi.

Pernah melalui pengalaman yang sama, saya mencelah dengan berkata, biasanya majlis yang mewah itu ada penyambut tetamu. Bagaimana boleh jadi macam itu?"

Memang ada penyambut tetamu, tetapi kalau sudah letak yang comel lote tapi tak tahu buat kerja susah juga. Pakai cantik-cantik, berbaris tepi pintu dan asyik tersenyum kepada tetamu. Bukan hendak tolong tunjuk tempat, tapi sibuk bergambar dan bersalam sambil berbalas-balas gesel pipi tanpa mengira lelaki perempuan," tambah Datin W.

Memang betul, saya juga pernah melihat senario ini dengan mata sendiri. Perihal bukan muhrim tidak kira kaum dan agama berbalas ciuman di pipi pada majlis orang kahwin sudah menjadi trend masyarakat kelas 'atasan' sejak akhir-akhir ini.

Tidak berhenti di situ sahaja, Datin W turut menegur sikap segelintir tetamu yang ada pangkat tetapi tidak tahu menghormati tetamu lain."

Saya malu dan kecewa dengan sikap orang-orang ini. Ada jawatan tinggi, ada pangkat dan pakai lawa tapi otak tidak boleh berfikir pentingkan diri sahaja," suaranya agak meninggi.Mendengar suaranya yang agak tinggi, saya bertanya kenapa."

Bayangkan kita sudah berbaris panjang, tiba-tiba di depan ada satu hamba Allah berpangkat jumpa kawan dia sepasang suami isteri, bersalam kemudian disuruh masuk barisan di hadapannya. "Kemudian datang seorang lagi, juga disuruh masuk, sehingga genap lima pasangan kawan mereka memotong Q. Sakitnya hati kita! Sekurang-kurangnya hormatkan tetamu lain. Ini tidak, mentang-mentang mereka ada nama, orang kenal, boleh buat sesuka hati," tambah Datin W.

Di dalam dewan pula, kata Datin W, suasananya memang cantik. Pokok bunga di sana sini, layar pun ada untuk tetamu yang duduk jauh dari pelamin. Tapi sayangnya dek kerana pokok-pokok bunga yang tinggi menjulang macam dalam hutan, pandangan sebahagian tetamu terlindung. Yang kelihatan hanya hujung kepala pengantin, tiang pelamin dan kepala tetamu lain.

Saya tersenyum sendiri. Mati akal saya untuk menjawab kata-kata Datin W. Lalu saya meminta pendapatnya terhadap apa yang dikatakannya sebagai kenduri di rumah orang miskin."

Ini yang saya hendak cerita. Banyak bezanya macam langit dengan bumi. Saya pergi empat buah rumah teman sekerja saya yang menerima menantu. Makanan dihidang secara bufet. Ada yang katering, ada yang masih gotong royong memasak. Paling kurang ada lima enam jenis lauk dan buah-buahan sebagai pencuci mulut. Dua daripada rumah itu siap disediakan teh tarik, kopi O dan bubur kacang."

Tetamu boleh enjoy makan sambil sembang-sembang tengok pengantin bersanding. Selepas bersanding, pengantin dan ibu bapa datang bawah khemah menyapa tetamu sambil mengucapkan terima kasih dan bersalaman. Tidak payah berbaris, tunggu dua jam baru hendak makan. Boleh ambil sendiri dan makan sepuas hati, tiada siapa melarang,'' jelasnya.

Berbeza dengan majlis orang kaya, pengantin dan tuan rumah tunggu depan pintu, habis tetamu kenamaan beredar, mereka pun lesap. Tinggal tetamu terkapai-kapai mencari jalan pulang.

Kali ini saya bersetuju dengan Datin W kerana apa yang diucapkannya benar belaka. Lebih selesa menghadiri majlis kahwin orang miskin daripada ke majlis orang kaya. Kalau ke rumah orang biasa, letak sahaja kereta di mana, tepi jalan, padang atau kawasan lapang, asal jangan halang laluan orang. Tapi kalau di tempat lima bintang, berpusing lima enam kali belum nampak parkir kosong, kira pi kira mai, bayarannya sama banyak dengan makan nasi kandar di restoran mamak.

Dalam berfikir saya dikejutkan dengan suara Datin W yang masih bersemangat untuk bercerita lagi tentang majlis kahwin orang kaya."

Bukan setakat itu sahaja, tetamu yang datang juga alahai memang berfesyen habis, kebanyakannya berfesyen macam hendak ke festival filem. Seksi dan menjolok mata pun ada, nak glamor punya pasal, tidak tahu beza majlis," tambahnya.

Kata-kata Datin W mengingatkan saya kepada satu kumpulan anak-anak remaja yang menghadiri majlis kahwin dengan menaiki kereta Mercedes. Empat orang dalam sebuah kereta, ertinya dua pasang. Cantik, tampan dan segak. Mereka memakai baju Melayu lengkap bersamping sementara anak daranya pula memakai kebaya lis jarang dengan tiub bertutup bahagian dada dan perut sahaja. Padanannya kain batik diikat pario sehingga ke paras peha. Bayangkan!

"Apakah pesanan kepada orang di luar sana yang mungkin keliru dengan pendapat Datin?'' soal saya yang cuba membakar semangatnya."

Pesanan saya, jangan rasa rendah diri jika tidak dijemput ke majlis kahwin orang kaya, jangan rasa terhina bila asyik ke majlis orang miskin. Kaya atau miskin bukan ukurannya. Yang penting jemputan tuan rumah dipenuhi."

"Apa pun," kata Datin W, "kita semua sama di sisi Tuhan. Yang berbeza hanyalah pangkat, darjat dan kemewahan yang juga dianugerahkan Tuhan. Jangan sesekali lupa.''

Saya hargai pandangan Datin W yang berpengalaman luas dalam perkara ini. Jika direnung semula, betul juga katanya. Majlis perkahwinan juga kini semakin sengit. Persaingan makin hebat. Seperti juga Datin W, saya turut mengalami pengalaman yang berharga. Buat pertama kali dalam sejarah, saya dan teman-teman pulang dengan tangan kosong daripada majlis perkahwinan orang kaya baru-baru ini sedangkan ramai tetamu glamor membawa dua tiga cenderamata setiap seorang.

Bezanya, pada hari yang sama, pada majlis kahwin orang miskin yang kami hadiri, kami dibekalkan buah tangan, sebuah beg kertas penuh dengan kuih tradisional, gula-gula, kek dan sapu tangan dan bunga telur yang cantik. Apa sudah jadi? Ada diskriminasi juga kah? Apa pun bukan buah tangan yang jadi impian, tetapi menghargai jemputan. Pada masa yang sama seronok melihat lakonan manusia di pentas dunia!

9 comments:

k-riey said...

haha.
tak pernah tahu lak majlis kahwin orang kaya macam tu.
ade seat dengan nombor semua tu.
setau saya, majlis kahwin yang saya pernah pergi sama je.
macam yang orang miskin akak cakap tu. he he
tapi best gile!
rindu nak makan nasik putih@minyak lauk gulai kawah, ikan kering dengan sambal belacan beserta mempelam putik masam-masam!
typical dish kat majlis kahwin di negeri saya Terengganu!

ZLAA said...

k-riey,

Apa yang penulis tu tulis ada kenyataannya. Majlis perkahwinan biarlah majlis yang mendapat keberkatan, mudahan rumahtangga yang didirikan juga akan berada di dalam keberkatan.

Dalilawati Zainal said...

satu artikel yang menarik. samada buat majlis di rumah @ dewan, pasti ada kelebihan n kekurangannya. Pada pandangan saya, yang penting, kekalkan sifat bersederhana dalam segala urusan.

Nur said...

Kak..buat kenduri kahwin macam kita buat lagi best ade gotong royong..La ni tak makan nasi pun tak pa, macam-macam ada dah...laksa, bubur, cendol etc... masak gotong royong..tapi yang penting mandapat berkat.

mencari cinta said...

artikel yang menarik..

mekap_artist said...

ikut budget masing-masing...bak kata melayu, ukur baju di badan sendiri...

Anonymous said...

Tumpang lalu... sila layari butik pengantin kami di http://www.liahadibridal.com/

korsetmurah said...

saya pun nak tambah sikit...

perkahwinan 'orang miskin' yang terlampau banyak disiarkan di TV, Internet lah menyebabkan ramai yg berlumba-2..

Anonymous said...

backlink search engine google seo backlinks backlinks google