Wednesday, July 18, 2012

Pagi ini saya menerima berita yang amat sedih sekali, kepulangan ke rahmatullah seorang sahabat keluarga. Orangnya masih muda di dalam usia tiga puluhan meninggalkan isteri dan anak-anak yang masih kecil. Kami mengenali beliau semasa beliau masih belajar di London dan beliau sekeluarga pernah menziarahi kami di Nottingham.  Saya sedikit ralat kerana tidak pernah bertanya khabar Allahyarham Dr Azim, seorang doktor gigi yang mana bangunan pejabatnya hanya bersebelahan dengan pejabat saya. Kalau terjumpa pun kami hanya menggangguk kepala dan tersenyum, tidak tergerak pula di hati saya untuk pergi bertanya khabar keluarga dan kesihatannya dek kerana kesibukan dunia yang tiada penghujungnya.. Alfatihah. Moga rohnya dicucuri rahmat.

Hujung minggu yang baru berlalu penuh hari-hari saya dengan aktiviti mendengar 'tazkirah dari Madinah' oleh Prof Kamil. Bermula Sabtu pagi menjemput sahabat-sahabat dari Putrajaya di seksyen 7 yang ingin menghadiri pelancaran buku Prof Kamil. Mulanya saya beragak-agak  untuk ke majlis itu memandangkan saya sudah memiliki buku-buku Prof Kamil, tetapi memandangkan sahabat-sahabat dari Putrajaya bersungguh-sungguh datang dari jauh, sedangkan rumah saya dan Intekma, tempat pelancaran buku tu hanya sepelaung sahaja, sepatutnya  lebih afdal lah saya hadir ke majlis itu. Rupanya tidak sia-sia saya ke majlis itu. Banyak mutiara kata dari Prof Kamil yang sangat mengesankan. Keesokkan harinya Ahad, kami ke surau Husna seksyen 20 untuk mendengar lagi 'tazkirah dari Madinah' Prof Kamil.
travelog haji - antara buku Prof Kamil yang telah saya baca 

Antara yang menarik bagi saya kupasan Prof Kamil tentang taman syurga (raudhah). Katanya kalau kita ke Madinah antara peluang yang tidak dilepaskan adalah menziarahi raudhah yang mana telah dijanjikan Allah SWT sebagai salah satu dari taman-taman syurga, sedangkan kita tidak sedar bahawa antara taman-taman syurga juga adalah majlis-majlis ilmu. Prof Kamil menceritakan bagaimana setiap malam beliau mangalu-alukan tetamu ke rumahnya di Bukit Uhud dan syarat apabila mereka di rumahnya, tetamu perlu mendengar tazkirah ringkas darinya sebelum menjamu selera. Kelihatan pelik; tetapi rupanya beliau mahu rumahnya menjadi seperti taman-taman syurga. Brilliant ideas..


Monday, July 09, 2012

walimah & fruit cocktail

Hujung minggu lalu 2 jemputan walimatul urus kami terima. Kedua-dua pasangan itu merupakan adik-adik undergrad yang selalu berkunjung ke rumah semasa kami di Nottingham dahulu. Walaupun kami sudah kembali ke tanahair, adik-adik ini masih menghubungi kami. Teringat saya di tahun lepas semasa kami pulang ke kampung, salah seorang dari mereka yang pulang bercuti menghubungi kami dan bilamana mengetahui kami berada di kampung terus datang ke rumah arwah ayah saya walaupun waktu itu sudah senja, makan malam bersama dan hampir larut malam baru kembali ke rumah. Sebagai bakal doktor, beliau bertanya khabar dan melayan arwah ayah saya yang ketika itu sedang sakit. Begitulah ukhwah, tidak mengenal usia. Kini adik tersebut sudah berjawatan doktor dan akan terus bertugas di UK. Moga berjaya. Terkenang sewaktu mula mengenali mereka di usia muda lepasan sekolah dan kini sudah berkahwin. Di tahun hadapan mungkin akan membawa anak mereka ke rumah. How time flies... 



Semalam, saya mencuba resepi baru fruit cocktail pemberian kawan sepengajian. Selalunya cocktail yang saya guna adalah susu cair dicampur dengan air cocktail buahan dalam tin tetapi kali ini cocktail itu diganti dengan yogurt dan susu pekat manis. Kena pandai seimbang rasa masam yogurt dan manis susu pekat manis. Buahan yang digunakan kali ini adalah fresh fruits dan juga nata de coco. Boleh tahan sedap, masam, manis dan lemak..