Monday, February 18, 2013

Of Birthdays..


Februari, dua anak perempuan saya dilahirkan di dalam bulan ini. Zahraa (15 tahun) lahir pada 10 Feb dan saya cuba merancang agar Khadijah (12 tahun) lahir pada tarikh yang sama tetapi Allah lebih berkuasa. Khadijah akhirnya lahir pada 15 Feb. Lazimnya jika dilahirkan di dalam bulan yang sama dikatakan perangai masing2 ada persamaan tetapi kedua-dua beradik ni amat kontras sikapnya. Agak mudah melahirkan Zahraa, menjaganya juga tidak sukar. Selesai menyusu terus tertidur. Khadijah sebaliknya, sangat sakit ketika melahirkan; dia suka menangis sehingga kurus kering saya dibuatnya..

Seawal tiga bulan sebelum tarikh hari lahir, Khadijah telah menwar-warkan hadiah-hadiah yang diharapkannya; antaranya music box, bracelet, notepad. Asal sahaja saya dan dia di dalam kereta, saya mesti dengar semua angan-angan dia. Jika dulu-dulu di usia 8 tahun, kalau dia perlukan sesuatu, dan jika saya diam, dia akan menderaf surat perjanjian ringkas dan saya perlu beri tandatangan ringkas. Bila sampai waktunya, dia akan menuntut apa yang saya telah tandatangan. Sampai ke satu tahap saya terpaksa beritahu Khadijah, saya tak akan tandatangan apa-apa pun lagi. Minggu lepas ketika kami menghirup hawa sejuk lewat petang di Bukit Frazer, Khadijah terjumpa bracelet di salah satu kedai souvenir. Mmmm.... apa lagi, puas dia merayu... 

Zahraa pula tiada sepatah kata tentang hari lahir. Tiada permintaan, tiada peringatan. Tetapi dalam diam rupanya dia menulis di dalam blognya di sini. Rupanya ada permintaan juga. Moga Allah mengabulkan permintaannya. Ameen..

Happy Birthday Zahraa dan Khadijah, Moga membesar menjadi gadis solehah. Moga beroleh kejayaan dunia wal akhirah....

Saturday, February 02, 2013

Maulid dan Thai grilled chicken


Lama tidak update blog ni.. sibuk memanjang. Apa yang sibuk entahlah.. Musim peperiksaan berlalu sudah, mesyuarat-mesyuarat validasi markah pelajar pun selesai sudah. Kini masa untuk merancang persiapan pengajaran semester depan pun bermula. Setiap hari, masa berlalu sangat pantas. Benarlah seperti kata-kata Saiyidina Ali R.A. :

'Masa itu umpama pedang, jika kamu tidak memenggalnya nescaya ia akan memenggal leharmu'.

Bulan ini juga bulan kelahiran junjungan Nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Yang nyata sekali kini, sambutan maulid sangat diraikan. Banyak selawat dan qasidah yang sangat merdu didengarkan. Antaranya seperti selawat oleh Habib Syech ini. 




Antara terjemahan selawat ini adalah:

Selawat serta salam ku persembahkan kepada mu wahai kekasih ku
Sebagai bukti keteguhan ku,wahai Nabi SAW (kekasih ku)
Engkaulah sebenar-benarnya pemberi peringatan pada masa mu
Wahai kekasih ku, wahai Rasulullah SAW yang bercahaya wajahnya penunjuk jalan kebenaran
Tak lekang selawat tercurah pada mu wahai pembawa kebenaran,laksana hembusan angin yang kencang.

Hari ini Siamese day di rumah. Saya mencuba resepi baru, Thai grilled chicken atau Gai Yang Khao Suan Kwang atau ayam panggang ala Siam. Resepi sangat mudah dan sedap. 

Ayam panggang Siam

Bahan perapnya tidak sukar, cuma sedikit bawang putih, daun ketumbar, lada hitam, garam, gula. Semua bahan ini  ditumbuk sehingga lumat dan kemudiannya di campur sedikit kicap cair, kicap pekat, air dan akhir sekali sedikit bijan. Gaulkan semua bahan ini pada ayam, perap sebentar dan bakar selama 1 jam 45 minit. Resepi langkah demi langkah saya ambil di sini. Ayam panggang Siam ini kami makan bersama sos cili thai, tomyam, paprik, salad dan sudah tentu dengan nasi..